comscore
Tumpuan :
Nasional

Disambar buaya ketika memancing

Lokasi mangsa dipercayai disambar buaya ketika sedang memancing di kawasan paya bakau berhampiran Ladang Pegagau, di sini, petang semalam. – FOTO: Ihsan pembaca

SEMPORNA: Seorang penyelia ladang dilaporkan hilang selepas disambar buaya ketika keluar memancing bersama rakannya di kawasan paya bakau berhampiran Ladang Pegagau, di sini, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Air Semporna, Abdul Kadir Ab Halalan, berkata mangsa warga Filipina dikenali Marvin Susa Dequillia, 36, keluar memancing kira-kira jam 2 petang sebelum pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3.30 petang hari yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh ketika kejadian tali pancing mangsa dikatakan tersangkut di dalam air sebelum mangsa bertindak mengambil kayu panjang bagi melepaskan tali pancing yang tersangkut.

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba seekor buaya muncul lalu membaham kedua kaki mangsa sebelum beberapa kali dilihat timbul di permukaan air dengan jasad mangsa masih berada di mulut reptilia itu.

“Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat yang diaktifkan sejak semalam ditangguhkan jam 6 petang tadi dan akan diteruskan semula pagi esok,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Abdul Kadir berkata, operasi pencarian turut dibantu anggota polis, pekerja Ladang Pegagau, penduduk kampung serta nelayan di sekitar lokasi mangsa dilaporkan dibaham buaya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini