comscore
Tumpuan :
Nasional

Disangka anak patung, rupanya jasad cucu lemas

Seorang penduduk kampung menunjukkan paras air longkang tempat kanak-kanak berusia 2 tahun yang ditemukan lemas di Lorong Seri, Jalan Langgar malam tadi.- Foto: NSTP

ALOR SETAR: “Mulanya saya nampak benda terapung, ingatkan anak patung, rupanya cucu saya.“Saya angkat cucu ke tepi longkang dan cuba memanggil namanya berulang kali tetapi tiada tindak balas… wajahnya pucat dan bibirnya sudah kebiruan,” kata Mohd Hamidan Hashim, 38.

Mohd Hamidan, datuk kepada kanak-kanak perempuan, Nur Aisha Misya Afifah Abdul Fattah, 2, yang ditemukan lemas dalam longkang di kawasan kampung berhampiran rumahnya di Lorong Seri, Jalan Langgar di sini malam tadi.

Menurutnya, ketika kejadian dia berada di tempat kerjanya berhampiran Stadium Darulaman sebelum dihubungi anak sulungnya yang juga ibu mangsa, Siti Nurfarhana Abdullah, 18, yang memaklumkan anaknya hilang dipercayai terjatuh dalam longkang.

Katanya, ketika kejadian, kawasan kampung itu dinaiki air disebabkan limpahan air Sungai Kedah selain air pasang besar yang berlaku kira-kira jam 3 petang semalam.

“Saya terima panggilan daripada anak kira-kira jam 4.30 petang sebelum terus ke lokasi untuk mencarinya di sekeliling kawasan itu tetapi tidak jumpa kerana air sangat dalam ketika itu.

“Dengan bantuan penduduk kampung, ada yang cuba menyelam mencarinya tetapi tak jumpa sebelum jasad cucu saya timbul kira-kira jam 8 malam tadi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Mohd Hamidan berkata, cucu keduanya itu seorang yang aktif dan sangat rapat dengannya dan memanggilnya dengan panggilan abah.

Katanya, ketika menerima panggilan telefon anaknya, dia tidak sedap hati apabila dimaklumkan cucunya hilang.

Datuk mangsa, Mohd Hamidan Hashim menunjukkan gambar cucunya yang lemas akibat terjatuh di dalam longkang ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah. – Foto NSTP

“Kawasan ini tak pernah banjir pun, tetapi semalam bila air pasang berlaku dan bertembung dengan limpahan air sungai menyebabkan banjir kilat berlaku sehingga menenggelamkan longkang ini.

“Namun saya reda dengan pemergian cucu walaupun sehari sebelum kejadian dia menunjukkan perubahan sikap tidak mahu makan dan mendiamkan diri,” katanya.

Sementara itu Siti Nurfarhana berkata, ketika kejadian dia sedang tidur dalam rumah kira-kira 30 meter dari longkang berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia menyangka anak bongsu daripada dua beradik itu pergi ke rumah nenek mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.

“Anak sulung yang juga abang mangsa berusia tiga tahun ketika itu ada dalam rumah dan saya tak sedap hati dan terus menghubungi ayah sebelum keluar mencari anak.

“Tidak lama kemudian, ada orang kampung beritahu anak saya jatuh longkang yang ketika itu dinaiki air sungai yang melimpah,” katanya

Jasad kanak-kanak itu dihantar ke Jabatan Forensik HSB untuk tindakan lanjut dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Irfan, Derga, Jalan Langgar di sini petang ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini