comscore
Tumpuan :
Nasional

Disyaki amal Aurad Muhammadiah, 108 ahli GISBH sudah ditahan JAIS

Oleh: Nurul Amalina Zainudin

SHAH ALAM: Seramai 108 individu ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) ditahan oleh pihak Jabatan Agama Islam (JAIS) kerana disyaki masih mengamalkan ajaran Aurad Muhamadiah.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan berkata, tangkapan itu terkait pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi perkara berkaitan akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan hal ehwal perkahwinan.

“Siri tangkapan ini dijangka akan berterusan melibatkan suspek-suspek yang disyaki dan telah dikenal pasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat yang diterima oleh pihak JAIS.

“Sehingga kini, hasil siasatan terhadap 108 suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa yang dikuatkuasakan,” katanya.

Mohd Shahzihan berkata, ia termasuk amalan mempercayai pimpinan memberikan keberkatan kepada ahli, membolehkan ahli masuk syurga, mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya (Ashaari Muhammad) tidak mati, dan Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran GISBH.

Mengulas lanjut, siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin dan akad perkahwinan ditentukan oleh pimpinan tertinggi GISBH.

“Dapatan siasatan juga menunjukkan perkahwinan tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah dan perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

“Situasi dan keadaan ini telah menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa). Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya.

Sementara itu, JAIS katanya telah bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan agensi berkaitan untuk mengkaji dan mengenal pasti salasilah keluarga sebahagian besar 435 kanak-kanak yang diselamatkan menerusi Op Global sejak 11 September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini