comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Disyaki dera budak 5 tahun sampai mati, ibu bapa angkat ditahan


IPOH: Polis menahan sepasang suami isteri yang disyaki mendera anak angkat perempuan mereka berusia lima tahun hingga maut, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penahanan suspek iaitu wanita berusia 27 tahun dan suaminya berusia 66 tahun itu dilakukan selepas menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.

Beliau berkata, laporan kes diterima daripada pegawai perubatan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), sekitar 9.45 pagi semalam yang memaklumkan mangsa dibawa ke wad kecemasan zon merah untuk menjalani bantuan kecemasan jantung dan pernafasan (CPR) sebelum disahkan meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan terhadap mangsa yang dibawa dari Taman Malkop Silibin, di sini, ke hospital mendapati terdapat kesan lebam di seluruh anggota badannya dan disyaki pernah dipukul menggunakan objek tumpul.

“Bedah siasat yang dilakukan mengesahkan punca kematian mangsa adalah disebabkan kecederaan akibat objek tumpul. Selain itu, terdapat juga luka koyak dan lebam pada vagina dan dubur mangsa.

“Bertindak atas maklumat yang diperoleh jam 9.45 pagi semalam (Isnin), polis menuju ke lokasi kejadian bertempat di sebuah rumah di jalan Kledang Raya, Taman Malkop Silibih, di sini bagi menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap kedua-kedua mereka di Mahkamah Ipoh dibuat pagi ini dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh dengan niat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden Norazlina Rais Ahmad di talian 013-6282176 atau tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini