SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menahan tiga beranak di sebuah rumah di Ampangan dekat sini, semalam kerana disyaki menjadi pengikut ajaran Ahmadi Religion.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, suspek terdiri daripada sepasang suami isteri masing-masing berusia lingkungan 50 hingga 60 tahun dan anak perempuan mereka yang berumur lewat 20-an.
Katanya, pasukan penguat kuasa merampas pelbagai dokumen disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran itu yang bertentangan dengan hukum syarak dalam serbuan pada 2 petang semalam.
“Kami turut menemukan bukti tiga beranak ini sudah berbaiah. Hasil siasatan awal mendapati lelaki berkenaan sudah lama tidak menunaikan solat lima waktu dan berpuasa pada Disember.
“Mereka juga terpengaruh dan belajar ajaran berkenaan menerusi media sosial terutamanya YouTube,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Ahmad Zaki berkata, siasatan sedang dilakukan mengikut Seksyen 52 dan 35 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 (Pindaan 2019).- BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.