Oleh: Afrina Romzi
KUALA LUMPUR: Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit. Jumlah keseluruhan
pengagihan pendapatan sebanyak RM10.1 bilion ini akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 sebanyak RM10.1 bilion dan akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pihaknya berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” katanya dalam satu kenyataan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.