comscore
Tumpuan :
Nasional

DLP: JPN P.Pinang mulakan sesi libat urus

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memulakan sesi libat urus bagi menangani isu bantahan pengendalian program Dual Language Programme (DLP) yang dibuat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa sekolah di negeri berkenaan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah proaktif itu membabitkan semua lihak terlibat.

“KPM komited untuk menyelesaikan isu yang berbangkit bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasar kepada garis panduan yang ditetapkan dan mencapai objektifnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DLP adalah program di bawah dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) mata pelajaran Sains dan Matematik.

Ia bertujuan untuk membantu murid meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris dengan memberikan pendedahan masa yang lebih melalui PdP mata pelajaran tersebut di sekolah.

Mengulas lanjut, menurut Fadhlina, pelaksanaan program DLP adalah berdasarkan garis panduan seperti yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 5 Tahun 2024: Garis Panduan Pelaksanaan Dual Language Programme Tahun 2024 bertarikh 19 Mac 2024.

“Sekolah yang melaksanakan program DLP perlu memastikan peluang turut disediakan kepada murid yang memohon untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda masing-masing.

“Pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap Tahun atau Tingkatan yang melaksanakan PdP menggunakan bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 untuk sesi persekolahan baharu mulai tahun 2024/2025,” katanya.

Media semalam melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina SM (C) di Pulau Pinang membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini