comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] DNA lelaki rogol kenalan sepadan dengan anak dilahirkan

Mohamad Haidil Haiqal dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar selepas mengaku merogol kenalan hingga melahirkan bayi. FOTO: NSTP

MUAR: Seorang lelaki yang dijadual melangsungkan perkahwinan bulan depan mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol kenalan bawah umur hingga melahirkan bayi, dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohamad Haidil Haiqal Abdullah, 20, yang ditemani tunangnya membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, dia yang bekerja kebun sawit didakwa merogol mangsa usia 13 tahun di sebuah rumah di Kluang dengan kejadian itu berlaku antara Mei hingga November 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa mangsa sudah melahirkan bayi pada Mei iaitu selepas seminggu dia ditahan polis pada 30 April tahun lalu.

Hujahnya, hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas bayi yang dilahirkan mangsa mendapati ia sepadan dengan tertuduh.

“Dalam kes ini, mangsa masih di bawah umur dan kesalahan ini adalah serius. Pihak pendakwaan memohonan mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh,” katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwa, mahkamah memutuskan untuk tidak membenarkan tertuduh diikat jamin.

Mahkamah juga menetapkan 27 Februari ini untuk fakta kes, hukuman serta laporan sosial Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh pesalah muda.

Loading...
Terkini