comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] “DNAA Zahid keputusan penuh Idrus” – Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan, beliau tidak memberi sebarang arahan kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengemukakan permohonan yang membawa kepada keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan rasuah.

Anwar berkata Peguam Negara ketika itu Tan Sri Idrus Harun yang memutuskan untuk mengemukakan permohonan berkait DNAA itu bagi memperolehi persetujuan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Beliau menegaskan Idrus membuat keputusan itu berdasarkan beberapa perkembangan yang diambil maklum sewaktu perbicaraan Ahmad Zahid berjalan.

“Saya nak jelaskan, tak ada arahan (kepada) Idrus. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis oleh AGC (Pejabat Peguam Negara) yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

”Beberapa fakta baharu (setebal) 200 halaman (juga) dikemukakan, saya baca kenyataan sebahagiannya benar, sebahagiannya lahirkan rasa kesangsian dan minta penjelasan lanjut,” kata Anwar.

Beliau menjelaskan sekiranya tuduhan bahawa pihaknya campurtangan dalam keputusan itu berasas, sudah tentu beliau mengarahkan Idrus mengemukakan permohonan DNAA Ahmad Zahid hanya selepas proses pilihanraya berlalu.

“Tentunya saya sebagai perdana menteri tahu kesan dari tuduhan yang dilemparkan. Saya terpaksa tanya panjang kepada AG (peguam negara) kenapa keputusannya begitu, kenapa sekarang,” kata Anwar.

Bagaimanapun, Idrus memutus untuk mengemukakan permohonan melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid pada Isnin kerana beliau akan bersara keesokan harinya.

“Jadi beliau jalankan tanggungjawab. Dia tak mahu lepaskan tanggungjawab yang dia uruskan kepada yang lain. Saya tak boleh halang,” tegasnya lagi.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Sri Petaling di sini, hari ini.

Loading...
Terkini