comscore
Tumpuan :
Nasional

Doktor gigi redah banjir demi kucing

Dr Phoebe Ann Zepher Andrew Lucas memeluk empat kucing peliharaan yang diselamatkan dalam banjir di rumahnya di Kampung Kolopis, sini, pada 30 Jun lalu.

PENAMPANG: Seorang doktor gigi mendapat perhatian ramai susulan perkongsian gambarnya di media sosial sedang memeluk empat kucing peliharaan yang diselamatkan dalam kejadian banjir di rumahnya di Kampung Kolopis di sini, 30 Jun lalu.

Mengimbas detik cemas itu, Dr Phoebe Ann Zepher Andrew Lucas, 30, berkata, dia nekad meredah banjir bersama bapa, Zepher Andrew demi empat kucing yang dipelihara sejak tiga tahun lalu kerana baginya, haiwan itu umpama ahli keluarga sendiri.

“Ketika di dalam bot, empat kucing saya masih trauma (kerana terperangkap dalam banjir di rumah) malah turut mencakar saya, tetapi selepas dipeluk, barulah kesemuanya tenang,” katanya.

Gambar Dr Phoebe Ann memeluk kucing kesayangan dinamakan Miau, Tatwo, Lico dan Latte yang ketakutan selepas terperangkap dalam banjir meruntun hati netizen yang turut bersimpati dengan situasi itu.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, pada mulanya, air di kawasan rumahnya setinggi buku lali sebelum dia dan keluarga segera memindahkan kereta ke kawasan lebih tinggi, jam 3 petang.

“Ketika dalam perjalanan ke rumah, saya terkejut kerana air sudah separas lutut.

“Selepas hantar mummy (Ivy Benjamin) ke rumah jiran di kawasan lebih tinggi, saya dan daddy terus balik ke rumah untuk mencari kucing,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, sebaik tiba di rumah, dia mendapati kucing berkenaan berlindung di tempat tinggi dan berada dalam ketakutan.

“Saya bersyukur kerana bukan saja keluarga, malah keempat-empat kucing juga selamat,” katanya yang bertugas di sebuah klinik swasta.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini