comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Doktor’ gigi TikTok ditahan

FOTO: NSTP

PETALING JAYA: Tawar rawatan pergigian menerusi TikTok dengan harga serendah RM100 sehingga RM1,400.

Itu yang dilakukan ‘doktor’ warga Indonesia yang tidak mempunyai sebarang tauliah rawatan pergigian.

Bagaimanapun tindakan tiga lelaki itu terbongkar selepas premis di Sungai Way di sini, diserbu Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, semalam.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Amalan Kesihatan Pergigian) Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Dr Izwan Abd Hamid berkata, serbuan pada jam 12.10 tengah hari itu dijalankan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, operasi khas itu berjaya menahan tiga lelaki Indonesia yang disyaki menjalankan dan menawarkan rawatan pergigian di premis tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Siasatan awal mendapati kegiatan itu telah beroperasi sejak tahun lalu.

“Suspek dikatakan mempromosikan perkhidmatan mereka di media sosial TikTok dengan tawaran harga sekitar RM100 hingga RM1,400 bergantung perkhidmatan yang diberikan,”katanya.

Dr Izwan berkata, pihaknya turut mengesan penggunaan ‘Dental Clinic’ di dinding rumah berkenaan dan itu dianggap satu penyamaran.

Katanya, soal siasat mendapati kira-kira lapan pelanggan hadir ke rumah suspek dalam tempoh seminggu untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Seorang daripada suspek juga menawarkan khidmat datang ke rumah pelanggan selain sekali perkhidmatan di Johor dan Pulau Pinang setiap sebulan,”katanya.

Semua suspek berusia lingkungan 18 hingga 36 tahun itu, kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) 1998 kerana menyediakan klinik pergigian tanpa pendaftaran selain Seksyen 62(1) Akta Pergigian 2018 kerana menjalankan amalan pergigian oleh orang yang tidak berdaftar.

“Tindakan juga diambil mengikut Seksen 63(1)(e) Akta Pergigian 2018 iaitu secara palsu menyamar sebagai pengamal.

“Pihak imigresen turut mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga suspek kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Loading...
Terkini