comscore
Tumpuan :
Nasional

Dollah Salleh Dan Keluarga Kemalangan, MPV Terbabas Di Kuala Pilah

Pengurus pasukan Sri Pahang FC Dollah Salleh dan tujuh anggota keluarganya terlibat kemalangan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka terbabas di Kilometer 8 Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir, dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah Supt Amran Mohd Ghani berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 9 malam itu, Dollah, 59, yang juga bekas jurulatih kebangsaan itu mengalami kecederaan di bahagian belakang tengkuk manakala isterinya, Roslina Ibrahim, 58, cedera di bahagian dada.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kenderaan MPV Toyota Velfire yang dipandu menantunya Muhammad Shafiq Shukaimi, 34, hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan arah bertentangan sebelum kenderaan itu terbalik ke dalam gaung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Lima lagi penumpang kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Mereka ialah isteri Muhammad Shafiq, Nurdian Dollah, 34, dan empat anak pasangan itu, Nur Sarah Amanda, 10, Nur Shffiya Ayra, 9, Nursabrina Adeena, 5, dan Muhammad Sulaiman Adeen berusia sembilan bulan.

Menurut Amran, ketika kejadian keluarga terbabit dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Muadzam Shah, Pahang menuju ke Shah Alam, Selangor.

“Akibat kejadian itu, kesemua mangsa dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah dan dilaporkan telah keluar daripada wad pagi tadi. Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya menambah kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).

Kemalangan membabitkan Dollah dan anggota keluarganya itu turut tular di laman sosial sejak malam tadi, dipercayai dirakamkan penduduk di lokasi kejadian.–BERNAMA

Loading...
Terkini