comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dos penggalak kedua COVID-19, pengambilan hambar tiada sambutan

Oleh Siti Khadijah Jaafar

KUALA LUMPUR: Jumlah kes positif COVID-19 yang rendah, serta pembukaan semula semua sektor membolehkan rutin kehidupan masyarakat kembali seperti sedia kala.

 

Ia hasil keberkesanan program imunisasi COVID-19 kebangsaan sebelum ini, ramai yang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

Namun jumlah yang mengambil dos penggalak, terutama dos penggalak kedua, agak hambar apabila hanya 800,000 individu atau 2.5 peratus sudah berbuat demikian.

Berdasarkan statistik Kementerian Kesihatan (KKM), dianggarkan 100 hingga 300 individu mengambil suntikan dos penggalak kedua setiap hari di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta seluruh negara.

Kadar yang rendah itu mungkin berkait dengan persepsi orang ramai bahawa tiada lagi ancaman COVID-19.

Selain itu, kurang kesedaran terhadap risiko jangkitan semula turut mendorong pengambilan dos penggalak terbabit dipandang enteng.

Walaupun tiada paksaan, perkembangan itu sebenarnya agak membimbangkan sekiranya kes positif COVID-19 kembali melonjak, selain risiko kemunculan varian baharu pada masa depan.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Bahagian Kawalan Penyakit KKM , Dr Diana Mahat berkata, pengambilan dos berkenaan amat penting terutama bagi mereka yang tinggal dengan golongan berisiko.

“Kita dapati vaksin ada sesetengah pfizer ke sinovac ke ataupun astrazeneca dalam tempoh 3-6 bulan tahap imuniti kita berkurang ok daripada yang asal mungkin yang asal tu u dapat mungkin dalam 90% 80% bila dah lepas 3 bulan you punya tahap imuniti you rendah turun ke 70 -60%”.

Sikap ragu-ragu segelintir individu terhadap kesan sampingannya juga membuatkan mereka berbelah bahagi sama ada mahu mengambilnya.

Bagaimanapun pemantauan Kementerian Kesihatan, KKM mendapati risiko kesan sampingan dos kedua adalah rendah berbanding dos primer.

Sambutan dingin itu juga menjadi antara punca lebih dua juta vaksin yang disimpan di fasiliti KKM dan gudang simpanan luput hujung bulan lalu, sekaligus mengakibatkan pembaziran.

“Betul satu sebabnya kita beli memang ikut kita punya unjuran kita memang dah mencukupi untuk dos primier dos penggalak ok tapi sebab kita sendirilah rakyat kita kurang kesedaran utk mengambil so sebab tu terdapat vaksin yang telah luput vaksin luput lebih kurang 2 juta tu betul so kita terpaksa luputkan dan tidak boleh digunakan”.

Beliau memberi jaminan vaksin sedia ada yang digunakan bukanlah vaksin luput sebaliknya vaksin yang terbukti selamat dan efektif.

“Selalunya kita akan guna vaksin yang akan expired dekat dululah maksudnya kita habiskan stok bulan april, bulan mei macam tu kita pun tak nak pembaziran yang banyak”.

Bagi individu yang sudah melengkapkan dos penggalak pula, mereka berharap orang ramai memikirkan kepentingan pengambilan dos selain memanfaatkan kemudahan yang diberikan kerajaan.

Sikap berwaspada terbabit perlu supaya masyarakat dapat mengekalkan tahap kesihatan terbaik, memandangkan kesejahteraan umum menjadi pemangkin kepada kestabilan ekonomi secara menyeluruh.

Pelajar, Adi Iskandar Satria berkata, ia penting bagi melindungi diri daripada jangkitan wabak itu.

“Ada beberapa kawan saya yang masih ada lagi simptom dan masih terkena lagi dgn COVID-19 jadi membuatkan saya terfikir jadi ini mungkin masa saya untuk mendapatkan dos penggalak kedua.”

Pendapat sama turut disuarakan Penasihat Perubatan, Mohd Noramin Anuar.

“Saya decide ambik baru je minggu lepas sebab saya rasa perlindungan itu pentinglah sebab sebelum ni kita dah dpt vaksin. Lagipun sekarang kalau nak buat janji temu pun dah mudah, malah kalau nak walk in sekalipun dibenarkan”.

Loading...
Terkini