comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Akmal berang 34 murid SRA belajar atas lantai sejak awal tahun

JASIN: Seramai 34 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ayer Merbau, di sini yang terpaksa duduk di atas lantai ketika belajar, mendapat perhatian EXCO Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Ia susulan kelewatan pihak pengurusan Bahagian Pendidikan JAIM untuk menyelesaikan masalah terbabit yang sudah berlarutan sehingga lima bulan.

Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau mengadakan lawatan mengejut ke sekolah berkenaan, semalam selepas menerima aduan ibu bapa murid terbabit.

Menerusi video berdurasi 3:53 minit itu, beliau nyata sedih melihat keadaan 34 murid sekolah berkenaan yang duduk di lantai beralaskan tikar getah ketika mengikuti pembelajaran di kelas itu.

Ia disusuli dengan perbincangan dengan seorang lelaki, dipercayai pegawai kanan dari Bahagian Pendidikan (Pendidikan, Guru dan Pembangunan Sekolah) JAIM.

Keadaan mula ‘panas’ apabila Dr Muhamad Akmal tidak berpuas hati jawapan diberikan pegawai terbabit dan berlaku ‘perang mulut’ mereka berdua.

Muhamad Akmal berkata, keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana bajet pembelian meja dan kerusi sudah diluluskan oleh kerajaan negeri.

“Lima bulan ustaz, lima bulan (murid) kena tunggu (untuk dapatkan meja dan kerusi), ustazah (guru kelas) kata daripada tahun lepas dah mohon, ok saya faham, saya tengok bajet awal tahun dah sampai.

“(Awak) buat apa ni, sampai lima bulan (kena tunggu), berapa lama perlu buat,” katanya menerusi petika video berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO itu bertambah berang apabila pegawai berkenaan tidak mengetahui kos pembelian kemudahan pembelajaran terbabit.

“Ustaz pun tak tahu, inilah masalah bila sambil lewa dengan aduan daripada guru besar. Birokrasi yang akhirnya sampai bulan lima,” katanya yang turut menghubungi Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salha Saleh bagi mendapatkan penjelasan mengenai peruntukan itu.

Sementara itu, menerusi catatan di Facebook petang tadi, Muhamad Akmal berkata, beliau tidak boleh menerima keadaan murid yang terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.

“Tidak boleh saya terima apabila anak-anak kita terpaksa belajar di lantai akibat tiada meja dan kerusi.

“Bila mana proses birokrasi menyusahkan rakyat, inilah akibatnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini