comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr M, Muhyiddin dinamakan dalam saman projek HSR KL-Singapura

Dua bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai defendan dalam saman berhubung pembatalan Projek Landasan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

KUALA LUMPUR: Seorang individu memfailkan saman terhadap dua bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin atas dakwaan menyalahgunakan jawatan awam dan cuai berhubung penamatan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Mohd Hatta Sanuri, 47, yang memfailkan saman itu menerusi Tetuan Mohaji, Hazury & Ismail pada 30 Disember lalu, turut menamakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan kerajaan selaku defendan pertama hingga kelima.

Tindakan saman itu difailkan Mohd Hatta mewakili dirinya dan lebih 32 juta rakyat Malaysia yang terkesan dan kecewa dengan pembaziran yang telah dilakukan oleh semua defendan.

Dalam pernyataan tuntutan, Mohd Hatta selaku plaintif mendakwa Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri ketujuh melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatan awam apabila mengambil keputusan menangguhkan projek HSR, menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Plaintif juga mendakwa Muhyiddin, yang ketika itu Perdana Menteri kelapan turut cuai dan menyalah guna jawatan awam apabila menamatkan projek berkenaan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia termasuk plaintif selaku pembayar cukai perlu mengeluarkan wang RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala antara Malaysia dan Singapura yang dipersetujui.

Dakwa plaintif, Mustapa yang bertanggungjawab dalam menguruskan projek itu telah melakukan kecuaian ketika menangguhkan projek berkenaan sehingga menyebabkan wang negara perlu dikeluarkan sebanyak RM46 juta.

Selain itu, Mohd Hatta mendakwa Wee juga cuai semasa menguruskan projek itu yang juga pengangkutan awam bagi rakyat Malaysia sehingga mendatangkan kesusahan dan kerugian berjumlah RM46 juta dan RM320,270,519.24 kepada rakyat Malaysia sekali gus menafikan hak rakyat untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah.

Oleh itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa pembatalan projek yang diumumkan oleh Muhyiddin adalah batal dan tidak sah selain memohon deklarasi kesemua defendan membayar ganti rugi dan pampasan sebanyak RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia termasuk plaintif kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.

Pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer kerana kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia telah membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.

Projek itu dijangka menyediakan tiga servis utama iaitu perjalanan secara langsung antara Malaysia dan Singapura dalam tempoh 90 minit, servis domestik di Malaysia dan perkhidmatan shuttle dari Iskandar Puteri (Johor) sehingga Singapura.

Pengurusan kes saman itu ditetapkan pada 2 Februari ini di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar. – BERNAMA

Loading...
Terkini