comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Mahathir tuntut Anwar tarik kenyataan dalam 7 hari

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tempoh tujuh hari kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menarik balik kenyataan dibuat Perdana Menteri itu pada Kongres Nasional Khas PKR baru-baru ini, yang didakwa fitnah terhadapnya.

Dr Mahathir berkata, notis tuntutan telah diserahkan melalui serahan tangan di pejabat Perdana Menteri di sini, semalam.

“Saya beri masa tujuh hari untuk dia (Anwar) tarik balik kenyataan atau tunjuk bukti dan lakukan beberapa acara untuk menunjuk bahawa dia tidak percaya apa yang disebut. Tapi kalau dalam tujuh hari tak jawab, maka saya bebas untuk ambil tindakan lain yang dibolehkan oleh undang-undang,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar yang juga Presiden PKR ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Khas PKR 2023 pada 18 Mac lalu berkata, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu lagi diperbodohkan dengan kenyataan pemimpin tertentu yang mendakwa memperjuangkan hak kaum berkenaan, namun dalam masa sama membolot kekayaan.

“Ada orang sekarang selepas 22 tahun campur 22 bulan pegang kuasa, mengeluh Melayu hilang segala-galanya, hilang harta, hilang saham. Bagaimana tak hilang kalau kamu bolot untuk kamu, untuk keluarga kamu dan anak-anak kamu. Sekarang hilang kuasa, bicara soal rakyat,” kata Anwar.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, tuduhan dilemparkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu memburukkan nama dan reputasinya.

“Bagi saya fitnah ini amat teruk kerana memberi gambaran seolah-olah saya curi duit, hilang duit, tak bayar cukai, saya seorang ‘scoundrel’ (penyangak) dan macam-macam lagi dalam ucapan kepada PKR dan ia dilapor oleh media utama atau media sosial.

“Nama saya diguna, jelas sekali ucapan dia merupakan satu fitnah terhadap diri saya bukan orang lain. (Ini) kerana saya orangnya yang berkuasa selama 22 tahun campur 22 bulan. Jadi perdana menteri ke-4 dan ke-7. Tujuannya memburukkan nama saya dengan tuduhan yang tidak berasas.

“Walaupun dahulu saya biasa dengar dia berkata seperti itu tapi pada masa itu dia bukan perdana menteri. Sekarang dia adalah perdana menteri dan perdana menteri mempunyai tanggungjawab dan tidak boleh buat tuduhan begitu sahaja tanpa bukti yang jelas,” katanya.

Loading...
Terkini