comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Mohd Zin dilantik Ketua Pengakap Negara Ke-7

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

PUTRAJAYA: Bekas Pengarah Kesihatan Angkatan Tentera, Mejar Jeneral Prof Datuk Dr Mohd Zin Bidin dilantik Ketua Pengakap Negara Ketujuh yang akan menerajui Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM).

Istiadat Penyerahan Suratcara Pelantikan jawatan berkenaan dan Penganugerahan Bintang Semangat Padi (Emas) disempurnakan Perdana Menteri merangkap Presiden Agung PPM, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Pelantikan Dr Mohd Zin jelas Anwar dibuat selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, 15 Disember lalu.

“Selaku Presiden Agung PPM, saya titipkan pesan buat Dr Mohd Zin untuk menampilkan kepimpinan penuh teladan dan mengangkat tatakelola, hatta integriti sepanjang menggalas amanah ini,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Dr Mohd Zin sebelum ini memangku tugas Ketua Pengakap Negara, menggantikan Allahyarham Tan Sri Shafie Mohd Salleh yang meninggal dunia, pada 11 September 2019.

Foto: Anwar Ibrahim/ Facebook

Beliau sebelum ini pernah memegang jawatan Pengarah Perkhidmatan Perubatan Grand Prix Formula 1 Malaysia selama 19 tahun.

Dr Mohd Zin bergiat aktif dalam pergerakan pengakap sejak sekolah dan dianugerahkan Sijil Pengakap Raja, pada 1971, selain memegang tauliah Jurulatih Antarabangsa, ahli Jawatankuasa Tertinggi Pengakap Asia Pasifik dan Konsultan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM).

Sementara itu, PPM dalam kenyataan berasingan berkata, pelantikan Dr Mohd Zin adalah hasil pemilihan menyeluruh, mengambil kira teladan kepimpinan beliau, dedikasi dan sumbangan dalam perkhidmatan ketenteraan, perubatan serta pendidikan.

“Di bawah bimbingan Dr Mohd Zin, PPM menjangkakan pertumbuhan besar dalam usaha mentransformasi Persekutuan Pengakap Malaysia,” katanya.

Dr Mohd Zin pula berharap, seluruh warga PPM dapat bergerak sederap bagi memperkukuh peranan pengakap untuk menerapkan nilai integriti, disiplin, kepimpinan dan daya saing bagi melahirkan pemimpin masa depan negara.

Beliau memberi jaminan, amanah diberikan kepadanya itu akan digalas sebaiknya dalam melonjakkan lagi pencapaian PPM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya akan menggalas amanah ini dengan penuh komitmen dan integriti, terutama dalam mempersiapkan golongan muda-remaja untuk mendepani cabaran era baharu,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini