comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dr Wan Azizah sampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa letupan bunga api

Oleh: Fatin Hanani Sahimi

KUALA LUMPUR: Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa yang terkorban akibat letupan bunga api, Ahad lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, menyampaikan sumbangan wang tunai itu ketika menziarahi ahli keluarga mangsa di Cheras, ibu negara pagi tadi.

Wan Azizah yang tiba di kediaman mangsa pada jam 10:52 pagi meluangkan masa kira-kira setengah jam bertanya khabar keluarga mangsa dan melahirkan rasa simpati di atas apa yang berlaku.

“Dia baru kehilangan ayahnya dan dia adalah pencari nafkah yang utama, pekerjaan utama dia adalah sebagai pemandu van sekolah, yang ini ialah kerja sambilan.

“Kita ingin tolong apa yang kita boleh, kita akan cuba permudahkan urusan persekolahan anak-anak (mangsa),” katanya.

Keluarga mangsa menerima sumbangan wang tunai termasuk daripada Yayasan wilayah dan Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak.

Dalam kejadian tengah hari Ahad lalu, Muhd Helmi Zulikifli,40 tahun maut akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan
sebuah hotel di Port Dickson.

Manakala adiknya Muhammad Pahzdleii, 39 tahun cedera melecur di bahagian kepala dan tangan dihantar ke Hospital Port Dickson

Siasatan awal mendapati mangsa sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu.

Wan Azizah juga berharap kejadian berkenaan dapat dijadikan iktibar oleh masyarakat dan majikan dengan mengetahui risiko dan bahaya bahan bakar berkenaan.

Loading...
Terkini