comscore
Tumpuan :
Nasional

Dr Zaliha komited makmurkan Wilayah Persekutuan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan) yang baharu, Dr Zaliha Mustafa akan menggalas dengan amanah kepercayaan diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk beliau menerajui portfolio berkenaan.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Sekijang itu menyambut baik pengumuman Perdana Menteri berhubung pertukaran portfolionya dari Menteri Kesihatan.

“Kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri ini akan saya galas dengan penuh amanah dan tanggungjawab selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI dalam merangka usaha memajukan dan memakmurkan lagi Wilayah Persekutuan melalui aspek pembangunan sosial, ekonomi Komuniti Wilayah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wilayah Persekutuan terdiri daripada Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan.

Pada Disember 2022, Kementerian Wilayah Persekutuan distruktur semula menjadi Jabatan Wilayah Persekutuan dan diletakkan di bawah JPM.

Anwar hari ini mengumumkan senarai barisan Kabinet baharunya iaitu selepas setahun Kerajaan Perpaduan dibentuk menerajui negara, terdiri daripada 31 menteri dan 29 timbalan menteri.

Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilantik semula sebagai Menteri Kesihatan baharu menggantikan Dr Zaliha.

Pada masa sama, Dr Zaliha mengucapkan terima kasih serta penghargaan kepada semua warga kerja Kementerian Kesihatan (KKM) atas sokongan yang diberikan kepada beliau sepanjang menerajui KKM.

Loading...
Terkini