comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dr. Zaliha tekad perkasa kesihatan wanita dan kanak-kanak

Oleh: Khairul Rizuan Azizan

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa secara rasmi memulakan tugasnya di Kementerian Kesihatan (KKM) pagi ini.

Beliau yang tiba di KKM pada jam 8.30 pagi disambut Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Norhayati Rusli.

Beliau kemudiannya mengimbas kad perakam waktu pada jam 8.35 pagi sebagai simbolik bermulanya tugas rasmi beliau sebagai Menteri Kesihatan yang baru.

FOTO: Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa secara rasmi.

Dr. Zaliha yang juga merupakan Menteri Kesihatan wanita yang pertama di negara ini tekad mahu memperkasakan kesihatan golongan wanita dan kanak-kanak.

“Menjadi Menteri Kesihatan wanita yang pertama pastinya akan menjadi banyak tumpuan NGO, wanita. Doktor-doktor wanita pun dah ramai yang telefon saya. Satu cabaran bagi saya tetapi menerujakan,” katanya.

Dr. Zaliha yang juga Ahli Parlimen Sekijang tidak menolak untuk bekerjasama dan menerima pendapat daripada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

“Saya sangat terbuka dengan segala pandangan dan cadangan daripada bekas Menteri sebelum ini mengenai polisi dan apa yang telah dilakukan oleh beliau tetapi saya perlu dapatkan terlebih dahulu “briefing” daripada KKM dahulu,” ujarnya.

Untuk rekod, Dr Zaliha, 58, graduan Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1983 memulakan kerjayanya dalam bidang perubatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru sebagai doktor siswazah pada 1989.

Beliau kemudian menjadi doktor perubatan di Hospital Daerah Pekan pada 1990 dan Hospital Taiping pada 1991 sebelum menyertai sektor swasta sebagai doktor di Poliklinik Penawar pada 1993.

Dr Zaliha mula aktif dalam bidang poltik pada 1999 sebagai Ketua Wanita PKR Johor dan enam tahun kemudian dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri berkenaan sebelum menjawat jawatan Naib Ketua Wanita PKR pada 2007.

Beliau kemudian dipilih sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR pada 2018 dan dua tahun kemudian, dilantik sebagai Pengerusi Biro Strategi, Dasar dan Latihan PKR.

Dr Zaliha yang pernah menjadi Setiausaha Politik Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, dikurniakan empat cahaya mata hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Dr Ahmad Azlan.

Loading...
Terkini