comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua Ahli Parlimen diarah keluar dewan 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, mengarahkan dua ahli Parlimen, dari Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) keluar dewan, ketika persidangan berlangsung, petang ini.

Arahan keluar dikenakan kepada Ahli Parlimen Parit Buntar Mohd Misbahul Munir Masduki dan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan selama sehari dan mereka dibenarkan memasuki dewan semula, esok.

Kekecohan itu bermula susulan dakwaan dibuat Mohd Misbahul ketika sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri, bahawa guru diugut berikutan menyokong parti pembangkang pada pilihan raya.

Mohd Misbahul berkata, guru sepatutnya diberikan hak untuk menyokong pembangkang dan berpolitik, asalkan mereka tidak cuai menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Mohd Sany kemudiannya bangkit mencelah dengan menyatakan bahawa guru tidak boleh berpolitik di dalam sekolah, namun tiada halangan berbuat demikian jika berada di luar tugas.

Mohd Misbahul pula mempertikaikan tindakan Mohd Sany yang tidak tahu peraturan Dewan Rakyat kerana bangkit mencelah perbahasannya tanpa kebenaran.

Mohd Misbahul menyambung perbahasan dengan mengharapkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) supaya tidak menghalang pelajar di sekolah agama daripada melaungkan takbir dan doa qunut nazilah kerana ia diajar dalam sunnah Rasulullah.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mencelah dengan menyatakan dakwaan terbabit tidak betul dan ia disambut oleh beberapa ahli Parlimen PH yang membidas Mohd Misbahul kerana memfitnah dan mengelirukan dewan dengan kenyataannya itu.

Johari kemudiannya memutuskan supaya Mohd Misbahul dan Mohd Sany supaya keluar dewan selama sehari susulan kekecohan terbabit.

“Saya minta dua-dua keluar pergi minum kopi, hari ini sahaja esok masuk semula,” katanya.

Loading...
Terkini