comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua ahli perniagaan pula mangsa scam, rugi lebih RM1 juta

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Dua ahli perniagaan menjadi mangsa terbaharu skim penipuan pelaburan dan pinjaman tidak wujud di negeri ini sehingga kerugian lebih RM1.09 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata,  pihaknya menerima aduan daripada warga tempatan itu pada Selasa dan Rabu lalu, yang terpedaya menerusi dalam talian.

Katanya, mangsa pertama wanita berusia 62 tahun memaklumkan melayari laman sosial pada April 2023 dan tertarik dengan pelaburan menawarkan pulangan tinggi.

“Mangsa menekan pautan diberikan dan berurusan dengan suspek hanya melalui aplikasi WhatsApp. Mangsa seterusnya memuat turun aplikasi seperti diarahkan dan mendaftar masuk bagi melihat dan memantau pergerakan pelaburan serta keuntungan diperolehi.

“Mangsa dikehendaki membuat pelaburan besar sekiranya mahu mendapatkan pulangan keuntungan lebih tinggi.

“Oleh kerana percaya dan mahu mendapatkan keuntungan tinggi, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM512,202.29 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

“Mangsa menyedari ditipu selepas sehingga kini hanya menerima pulangan sebanyak RM924 dan diarahkan membuat pelbagai bayaran lain bagi mengeluarkan wang pokok dan keuntungan diperolehi sebagaimana dipaparkan dalam laman pelaburan berkenaan.

“Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM512,529.29,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Datuk Kamarul Zaman berkata mangsa kedua lelaki berusia 57 tahun pula memaklumkan melayari laman sosial pada bulan lalu dan tertarik dengan iklan pinjaman wang dipaparkan.

Katanya, mangsa berurusan dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan memberikan butiran diri serta jumlah pinjaman dikehendaki.

“Mangsa dimaklumkan yang permohonannya diluluskan, namun sebelum wang itu dibayar, mangsa dikehendaki membuat pelbagai bayaran seperti cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, (LHDN), peguam, duti setem dan sebagainya.

“Percaya akan mendapat pinjaman yang ditawarkan, mangsa membuat pembayaran berjumlah RM585,107.67 ke beberapa akaun yang diarahkan suspek.

“Mangsa syak dirinya ditipu selepas tidak menerima wang pinjaman dijanjikan, sebaliknya diarahkan membuat bayaran tambahan sebelum wang pinjaman dibayar kepadanya.

“Mangsa mengalami kerugian berjumlah RM585,107.67,” katanya yang memaklumkan kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Datuk Kamarul Zaman meminta orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan cakna dengan taktik terkini penipuan.

“Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersial melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJN) seperti Facebook, Instagram dan Tik Tok.

“Selain itu, orang ramai juga wajar menggunakan perkhidmatan dalam talian ‘Semak Mule’ sebelum membuat sebarang pembayaran serta muat turun aplikasi ‘Whoscall’ bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan,” katanya.

Loading...
Terkini