comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua asas Mahkamah Tinggi hanya lepaskan Zahid tanpa dibebaskan

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah

KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi, dibuat berdasarkan dua asas.

Asas kepada keputusan mahkamah itu adalah siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Terdahulu, di awal prosiding hari ini, peguam bela, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, memohon Timbalan Perdana Menteri itu dibebaskan sepenuhnya selepas mahkamah dimaklumkan Peguam Negara ingin memberhentikan prosiding kes berkenaan, yang memberi kesan Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, dalam keputusannya, berkata pendakwaan melalui Peguam Negara menjalankan kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dan memohon DNAA.

Beliau berkata beberapa alasan diberikan pendakwaan termasuk terdapat keperluan menyiasat tuduhan dengan lebih lanjut serta alasan penubuhan RCI bagi menyiasat kandungan buku ‘My Story: Justice in The Wilderness’ oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurut hakim, oleh kerana siasatan masih dijalankan dan lanjutan daripada respresentasi yang dikemukakan pembelaan, adalah wajar bagi pihak pendakwaan memerlukan lebih banyak masa untuk meneliti representasi yang membabitkan pihak berkuasa mengambil kenyataan daripada beberapa individu.

Katanya, walaupun penubuhan RCI tidak menyatakan garis masa dan bagaimana ia akan dilakukan, ia tidak menunjukkan kes terbabit sudah mencapai penamatnya.

Sequerah menegaskan, untuk rekod seramai 99 saksi pendakwaan dan 15 saksi pembelaan sudah dipanggil memberikan keterangan selepas Zahid diperintahkan membela diri dalam perbicaraan bermula 18 November 2019.

Hakim berpandangan pendakwaan sudah memberikan alasan kukuh mengapa mereka memohon supaya Zahid dilepas tanpa dibebaskan.

“Atas alasan yang diberikan, mahkamah dengan ini membuat perintah pelepasan yang tidak terjumlah kepada pembebasan.

“Sebelum saya menangguhkan prosiding, saya ingin menyatakan bahawa walaupun kuasa Peguam Negara, di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 254 CPC untuk memulakan dan menarik balik kes pada bila-bila masa sebelum penghakiman, tidak dipersoalkan.

“Sekiranya pihak pendakwaan memutuskan dalam masa terdekat bahawa mereka tidak akan meneruskan pertuduhan, banyak masa kehakiman yang berharga dan sejumlah besar wang pembayar cukai akan dapat dijimatkan. Dengan ini saya menangguhkan prosiding, “ katany

Artikel berkaitan: Zahid lepas tanpa bebas semua 47 tuduhan rasuah, pecah amanah Yayasan Akalbudi

Loading...
Terkini