comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beradik ‘anak Jerman’ teruja peluang mengundi PRU-15

Dua beradik, Julian Johan Bechler (kanan), Joshua Johan Bechler (kiri) bersama ibu mereka (tengah) menunjukkan jari masing-masing selepas mengundi pagi tadi. – Foto: NSTP

SHAH ALAM: Terpaksa beratur panjang dalam keadaan hujan renyai, tidak mematahkan semangat dua beradik berdarah campuran Malaysia-Jerman, untuk mengundi buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini di Dewan Melur, Seksyen 7 di sini, hari ini.

Dua beradik terbabit, Julian Johan Bechler, 21, dan Joshua Johan Bechler, 19, menyifatkan peluang mengundi dalam PRU-15 adalah pengalaman pertama yang berharga.

Julian berkata, sangat penting bagi golongan muda keluar mengundi kerana setiap satu undi menentukan halatuju masa depan mereka dan negara.

“Mengundi bukan hanya tentang siapa (parti) yang kalah atau menang tetapi ini adalah kewajipan dan tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia.

“Penting untuk kita mengundi terutama golongan muda dan kemudian, mana-mana parti yang menang..saya harap parti itu akan memimpin Malaysia dengan cara yang lebih baik.

“Sudah tentu selepas ini saya akan mengundi lagi seperti hari ini, jadi golongan muda jangan lepaskan peluang kerana undi hari ini akan beri kesan di masa depan,” katanya ketika ditemui selepas mengundi di sini.

Adiknya Joshua juga mempunyai pandangan sama kerana setiap orang ada calon berbeza, tetapi siapa yang menang perlu membuktikan janji mereka.

“Tidak kisah parti mana akan menang, tetapi calon yang menang mesti membangunkan Malaysia memandangkan negara kita mempunyai banyak potensi.

“Mengundi adalah tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia, jadi saya harap setiap orang juga perlu berbuat demikian untuk mengangkat negara ke arah lebih bagus.

“Harapan saya kepada calon yang menang, tunaikan janji yang disebutkan dan dirancang untuk kami,” katanya.

Sementara itu, ibu mereka yang mahu dikenali sebagai Anne, sanggup menangguhkan penerbangan pulang ke Frankfurt, Jerman kerana mahu membawa anak-anak mengundi.

“Sudah 25 tahun di luar negara, ini kali pertama saya dapat mengundi di tanah air sendiri, sangat berbeza dengan suasana mengundi luar negara.

“Bila kita di luar negara, tidak banyak tahu keadaan sebenar situasi politik secara dekat, tidak kenal calon betul-betul, tiada informasi sebenar.

“Jadi, dua bulan berada di sini, saya dapat pelbagai maklumat lebih jelas. Dari situ boleh fikir siapa calon yang kita hendak undi malah saya dan anak-anak yakin untuk mengundi hari ini,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini