comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beradik cemas, ular tedung sembunyi bawah sofa

Ular tedung sepanjang kira-kira 3.5 meter yang sedang sembunyi di bawah sofa berjaya ditangkap oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village, pagi tadi. FOTO: Ihsan PBS

SLIM RIVER: Dua beradik berdepan detik cemas selepas salah seorang mereka menyedari kehadiran ular tedung yang sedang sembunyi di bawah sofa dekat anjung rumah di Kampung Sungai Muda Ulu Slim, pagi tadi.

Ketua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Slim Village, Mohamad Hanafi Mohamad Daud berkata, pihak PBS menerima panggilan berhubung kehadiran reptilia berbisa terbabit kira-kira jam 10.15 pagi.

Katanya, lima anggota PBS termasuk beliau bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan.

“Pengadu yang berumur 24 tahun mula terdengar geseran dan dengusan dari anjung rumah ketika dia sedang membaiki motosikal di tempat parkir kenderaan.

“Selepas itu, pengadu ternampak pula seekor kucing berlari dari kawasan anjung yang diletakkan sofa terbabit,” katanya.

Mohamad Hanafi berkata, pengadu masuk ke dalam rumah kemudian ternampak seekor ular tedung berada di bawah sofa sebelum menghubungi PBS.

“Tiba di tempat kejadian mendapati ada seekor ular tedung di bawah sofa dekat anjung rumah.

“Ular sepanjang kira-kira 3.5 meter terbabit berjaya ditangkap dengan menggunakan penjerut oleh anggota PBS di tempat kejadian, “katanya ketika dihubungi, dekat sini.

Mohamad Hanafi berkata, anggota keluarga terbabit bernasib baik kerana menyedari awal kehadiran reptilia berbisa terbabit dan ketika kejadian juga kedua ibu bapa mereka tiada di rumah.

Katanya, ular terbabit kemudian dibawa pulang ke Pejabat PBS Slim Village untuk tindakan selanjutnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini