KINABATANGAN: Perjalanan pulang enam sekeluarga berakhir tragedi apabila dua daripadanya maut selepas kenderaan dinaiki terbabas dan terbalik di Batu 32, Bukit Tarap, di sini, hari ini.
Remaja perempuan dan adik lelakinya berusia 10 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala empat lagi cedera iaitu kanak-kanak berusia enam dan 10 tahun serta wanita dan lelaki berusia 53 tahun.
Difahamkan, keluarga itu dalam perjalanan pulang dari Sandakan ke Sukau.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (BBP) Kinabatangan, Penolong Penguasa Bomba Nurul Azlan Shah Jamalludin berkata, sepasukan anggota dan jentera dikerah ke lokasi yang berjarak 25 kilometer selepas menerima panggilan pada 5.20 petang.
“Kemalangan membabitkan kenderaan Perodua Aruz terbabas sendiri dan terbalik. Terdapat enam mangsa dan dua disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, semua mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan manakala, mangsa yang maut diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
Katanya, operasi tamat pada 7.13 malam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.