
KOTA KINABALU: Dua beradik ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mayat mangsa Jayraiyen Jabri, 5 dan abangnya Jackron, 6, ditemui selepas api berjaya dipadamkan pasukan bomba dan penyelamat.
@buletintv3 Dua beradik ditemui rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan enam rumah di Kampung Pulutan, Manggatal, Kota Kinabalu, Sabah #beritaditiktok #buletintv3 #rentung #terbakar ♬ Suspenseful and tense orchestra(1318015) – SoLaTiDo
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, 35 pegawai dan anggota dari BBP Lintas dan Kota Kinabalu bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terlibat dalam operasi pemadaman.
“Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran dan dua pancutan dengan sumber air jentera.
“Kebakaran membabitkan enam rumah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

Terdapat dua kanak-kanak ditemui rentung di lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kebakaran dapat dikawal jam 2.53 petang.
Punca kejadian masih dalam siasatan.