comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beradik tak sempat nikmati donat

Anggota bomba mengangkat mayat dua beradik yang maut dalam kemalangan di Jalan Gapam, petang semalam. – FOTO: JBPM

JASIN: Seorang bapa tidak menyangka hasrat dua anaknya yang keluar untuk menikmati donat bertukar tragedi apabila kedua-duanya maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan di Jalan Gapam, di sini, petang semalam.

Dalam kemalangan jam 4 petang itu, penunggang motosikal, Hijjaz Kasturi Ramli, 19, dan kakaknya, Nurul Faqihah Ramli, 21, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah.

Bapa mangsa, Ramli Merat, 46, berkata dia mengetahui kejadian yang menimpa anak sulung dan keduanya itu kira-kira sejam selepas mereka meminta izin keluar ke Ayer Keroh untuk menikmati donat.

“Kakaknya teringin mahu makan donat dan kira-kira jam 3.30 petang mereka minta izin daripada saya untuk keluar.

“Kedua-duanya kelihatan seperti biasa, cuma Hijjaz Kasturi seakan berat hati untuk pergi.

“Ketika menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan anak kemalangan, saya beranggapan cuma kemalangan biasa, namun sebaik tiba di tempat kejadian hanya tuhan yang tahu perasaan ini melihat tubuh anak di atas jalan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin hari ini.

Bapa kepada lima anak itu berkata, kedua-dua anaknya memang rapat dan selalu keluar bersama namun tidak menyangka semalam adalah kali terakhir mereka bersalam serta berbual.

“Tiada perubahan ketara ditunjukkan mereka cuma apa yang saya perasaan adalah Hijjaz. Dalam seminggu dua ini dia banyak membantu saya serta uruskan hal berkaitan perniagaan berbanding sebelum ini tidak begitu serius.

“Malah, untuk menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi juga agak berat untuk kami sekeluarga tanpa mereka berdua. Walaupun masih terkejut, namun saya reda dengan pemergian dua anak selain menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan berhubung kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Jasin, Asisten Superintendan Mohd Fadzil Othman, berkata kemalangan itu membabitkan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Gapam ke Ayer Keroh.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi lalu terbabas melanggar pokok.

“Akibat rempuhan itu, penunggang motosikal tercampak ke dalam longkang, manakala pembonceng pula tercampak di tengah jalan dan kedua-dua mereka disahkan meninggal di tempat oleh pasukan perubatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini