comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beradik tetap semangat ke sekolah walaupun hanya berselipar

Biarpun hanya berselipar, Muhammad Firash tetap teruja pada hari pertama persekolahan di Sekolah Kebangsaan Seri Gading, Johor. – Foto Nur Aisyah Mazalan

BATU PAHAT: Dua beradik terpaksa berselipar dan memakai baju biasa pada hari pertama persekolahan sesi 2023/2024 yang bermula hari ini di Johor, kerana kasut sekolah mereka hanyut manakala baju seragam habis rosak dek banjir.

Biarpun begitu, Muhammad Firash Amsyar, 10 dan Muhammad Lutfi Arasy, 8 dari Kampung Sri Gading, di sini tetap
bersemangat .

Kedua-duanya teruja dan gembira ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Gading yang sebelum ini menjadi pusat pemindahan sementara (PPS) keluarga mereka sejak 3 Mac lalu.

Bapa mereka, Mohd Mansor Abu Bakar, 45, berkata kedua-dua anaknya bangun seawal jam 6 pagi bagi untuk bersiap.

“Baju seragam sekolah anak memang habis rosak kena air banjir, mujurlah baju sukan yang anak pakai hari ini memang sedia tergantung di ampaian.

“Kasut sekolah memang semua hilang hanyut entah ke mana, jadi hari ini abang dan adiknya pakai selipar sahaja ke sekolah.

“Alhamdulillah semua buku teks pinjaman yang telah diperolehi dapat diselamatkan.

“Mereka tetap bersemangat hendak datang ke sekolah setelah empat minggu cuti,” katanya ketika ditemui di luar perkarangan SK Sri Gading di sini, selepas menghantar anak keduanya ke sekolah dengan menaiki motosikal manakala anak sulong mengayuh basikal ke sekolah.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon, berkata di negeri ini 595, 454 pelajar memulakan sesi persekolahan di 1,192 sekolah negeri ini bagi sesi 2023/2024 yang bermula hari ini.

Katanya, sesi persekolahan membabitkan 354,312 murid Sekolah Kebangsaan (SK) di 908 sekolah rendah.

“Daripada jumlah itu, 54,848 ialah pelajar baharu Tahun Satu dan 21,392 pelajar prasekolah.

“Seramai 241,142 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di 284 sekolah menengah. Daripada jumlah itu 47,837 ialah pelajar Tingkatan Satu dan 3,747 ialah pelajar peralihan,”katanya.

Loading...
Terkini