comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beranak ditahan SPRM, disyaki guna dokumen tuntutan palsu

Foto hiasan

Oleh: Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan dua beranak kerana disyaki menggunakan dokumen tuntutan bayaran yang mengandungi butir matan palsu.

Ia kononnya bagi tujuan pembekalan minyak masak di sekitar Kedah, Perlis dan Pulau Pinang sedangkan bekalan tersebut tidak dilaksanakan.

Suspek ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kedah.

Suspek pertama, lelaki berusia 50-an dan suspek kedua, anak lelakinya berusia 20-an.

Suspek ditahan secara berasingan sekitar jam 7.30 malam semalam dan jam 10 pagi tadi.

Kedua-dua beranak ini disyaki menggunakan lesen syarikat tempat mereka bekerja untuk membuat tuntutan palsu subsidi minyak masak paket satu kilogram daripada sebuah kementerian di antara bulan Jun dan Julai 2020.

Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail semasa dihubungi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Kedua-dua suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangan mereka direkodkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini