comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua beranak tersepit dalam kereta akibat pokok tumbang 

Foto ihsan Bomba Perak

IPOH: Seorang wanita dan anak lelakinya cedera apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Laluan Lapangan Permata 1, Taman Song Choon, di sini, petang tadi susulan hujan lebat dan angin kencang.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai, Johari Mohamad berkata dua beranak itu tersepit dalam kenderaan dalam kejadian kira-kira jam 3 petang tadi.

“Mangsa terdiri daripada seorang remaja lelaki berumur 14 tahun dan seorang wanita yang merupakan ibunya berusia 47 tahun, dengan kedua-dua mereka mengalami cedera ringan.

“Kemalangan membabitkan sebatang pokok yang tumbang lalu menghempap sebuah kereta yang dalam keadaan bergerak dan terdapat dua mangsa yang berada dalam kenderaan itu tersepit,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya lagi, bomba kemudian melakukan kerja memotong pokok yang tumbang di atas kereta berkenaan  selain mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Katanya, dua mangsa itu yang mengalami cedera ringan kemudiannya dihantar ke hospital swasta menggunakan kenderaan orang awam.

Beliau berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI)juga dimaklumkan untuk hadir ke lokasi kejadian bagi bantuan pemotong pokok tumbang berkenaan.

Loading...
Terkini