comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua bot nelayan asing ceroboh perairan negara disita

Sebahagian daripada 19 anak kapal yang dicekup dalam Op Kuda Laut dan Op Naga Barat.

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah/Zamri Ghani

KUALA TERENGGANU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan dua bot nelayan asing Vietnam bersama 19 kru setelah menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairulanuar Abdul Majid berkata, dua bot tunda ganding itu ditahan pada jam 10.15 malam kelmarin, kira-kira 135 batu nautika dari muara Kuala Terengganu.

Dua bot nelayan Vietnam itu dikesan kapal Maritim yang sedang melaksanakan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat.

Bot pertama yang ditahan dikendalikan 14 kru termasuk tekong manakala bot kedua dikendalikan lima kru bersama tekong.

Semua rampasan dianggarkan bernilai hampir RM3 juta melibatkan hasil tangkapan laut seberat 900 kilogram, bekalan diesel, bot dan peralatan menangkap ikan.

Semua kru berusia 16 hingga 62 tahun bersama bot yang ditahan dibawa ke jeti Maritim negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.

Proses membawa bot tahanan mengambil masa lebih 35 jam kerana cuaca buruk susulan musim Monsun Timur Laut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Loading...
Terkini