comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua bot pelancong ditahan bawa lebih penumpang dan abai aspek keselamatan

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Tindakan dua bot pelancong membawa lebih penumpang dan mengabaikan aspek keselamatan menerima padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Pengarah APMM Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, kedua-dua bot terbabit ditahan di kedudukan 0.18 batu nautika Barat Jeti Jesselton, di sini jam 4.30 petang.

“Dua bot terbabit ditahan bot peronda maritim ketika dalam siri Operasi Preventive Search and Rescue (SAR) di sekitar perairan daerah ini.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama, mendapati bot yang dikendalikan oleh seorang lelaki tempatan membawa penumpang melebihi had yang dibenarkan.

“Pemeriksaan ke atas bot kedua mendapati bot terbabit tidak membawa peralatan keselamatan seperti mana yang dinyatakan dalam butiran keperluan keselamatan oleh pihak Jabatan Pelabuhan dan Dermaga selain beroperasi tanpa kru,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ujarnya, kedua-dua bot dan juragan diiringi masuk ke jeti Maritim Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.

“APMM menyeru kepada semua pengusaha bot penumpang supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika membawa penumpang ke pulau-pulau sekitar perairan negeri bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“APMM akan terus melaksanakan Operasi Preventive SAR ini supaya tahap kesedaran berkenaan aspek keselamatan di laut dalam kalangan pengusaha bot penumpang dan komuniti maritim menjadi satu keutamaan dan dipandang serius,” katanya.

Loading...
Terkini