comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua cedera, tabung NGV lori ikan meletup ketika sedang isi gas

Oleh Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Dua cedera selepas tangki NGV sebuah lori ikan meletup ketika sedang mengisi gas di stesen petronas Jalan Langkasuka, Kawasan Perindustrian Dato Onn dekat sini, tengahari tadi.

Kejadian dilaporkan berlalu kira-kira jam 12 tengahari.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, dua mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan.

Mangsa yang cedera dikenalpasti seorang lelaki berumur 64 tahun dipercayai pemandu lori yang cedera ringan di tangan akibat terkena serpihan letupan.

Manakala seorang lagi mangsa adalah pekerja stesen minyak berkenaan yang berumur 57 tahun yang mengalami trauma akibat letupan itu.

Letupan berkenaan turut mengakibatkan sebuah teksi yang berada di stesen itu dan bangunan asrama pekerja milik sebuah pasaraya yang terletak berhampiran mengalami kerosakan.

Sebelum itu 14 pegawai dan anggota bomba dari balai bomba dan penyelamat JBPM Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

Operasi pemadaman berjaya ditamatkan jam 1.30 tengahari.

Punca sebenar letupan masih dalam siasatan .

Loading...
Terkini