PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan dua juta ahli menyertai Kesatuan Sekerja selaras dengan penguatkuasaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 Pindaan 2024 pada 15 September lepas.
Menterinya, Steven Sim menyeru agar kesatuan ini bergerak secara aktif dan berkesan serta memastikan kebajikan, kemahiran dan keberhasilan anggota-anggota berkenaan terus dijaga dan diberi keutamaan.
“Hari ini Kesatuan Sekerja di Malaysia ada 759 Kesatuan dengan keanggotaan lebih 1 juta orang ahli.
“Saya berharap daripada 1 juta orang ahli, kita tambah sehingga 2 juta orang ahli dengan penguatkuasaan akta ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Kesatuan Sekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia, Mohd Asri Abdul Wahab.
Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig dan Pindaan Ordinan Buruh Sarawak berada di landasan yang betul.
“Kita tengah berusaha untuk membawa RUU yang baharu iaitu RUU Pekerja Gig yang akan membela nasib rakan-rakan kita pekerja gig yang sudah lama terkapai-kapai di luar akta kerja.
“Saya pada tahun ini juga akan membawa Pindaan Ordinan Buruh Sarawak supaya selepas ini, semua pekerja semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak, kita ada hak dan perlindungan bersama,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.