Tumpuan :
Nasional

Dua kakitangan sekolah meninggal dunia dalam kemalangan di Lipis

Foto Ihsan Polis

LIPIS: Dua wanita kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) maut dalam kemalangan yang melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga dan sebuah lori jenis Dahaitsu di KM 15 Jalan Lipis-Jerantut, berdekatan Kampung Jeram Bungor, dekat sini pada jam 2.30 petang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Ismail Man berkata, siasatan awal kejadian, mendapati kereta Proton Saga yang dipandu oleh seorang wanita dan seorang penumpang dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Limau Purut, Lipis menuju ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lipis.

“Lori yang dipandu oleh seorang lelaki bersama kelindan dalam perjalanan dari arah Gua Musang untuk ke Kampung Gemunchor untuk mengambil tayar.

“Apabila sampai di tempat kejadian, kedua-dua kenderaan tersebut telah bertembung secara bertentangan,” katanya.

Katanya, akibat kemalangan tersebut, Nurshida Md Najib, 38, dan Nurulfarhana Yahaya, 31, telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Sementara itu pemandu lori berusia 31 tahun mengalami kecederaan pada rusuk sebelah kiri dan kelindan berusia 33 tahun telah dibawa ke Hospital Lipis untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Lipis di nombor 09-3121999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lipis, Borhan Daud berkata, lima anggota bomba membuat operasi mengeluarkan dua mangsa wanita tersepit di dalam kereta menggunakan peralatan khas penyelamatan dan menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan seterusnya manakala mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini