Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-38 tahun 2024 (ME38/2024) bagi tempoh 15 hingga 21 September lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, jumlah kes demam denggi yang direkodkan pada minggu tersebut adalah sebanyak 1,514 kes iaitu menurun berbanding 1,794 kes pada minggu sebelumnya.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME 38/2024 adalah sebanyak 101,750 kes berbanding 87,175 kes bagi tempoh sama tahun 2023.
“Terdapat 91 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 62 kematian bagi tempoh sama pada tahun 2023,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, sebanyak 33 lokaliti hotspot dicatatkan pada ME 38/2024 berbanding 43 lokaliti pada minggu sebelumnya.
Daripada jumlah itu, 23 lokaliti di Selangor, tiga lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, masing-masing dua lokaliti di Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Kelantan serta satu lokaliti di Perak.
Mengulas lanjut, menurut Dr Muhammad Radzi, terdapat tiga kes chikungunya direkodkan pada minggu epidemiologi tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes penyakit itu sehingga kini adalah 75 kes.
Tiada wabak chikungunya dilaporkan.
“Bagi survelan zika, sebanyak 1,976 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan keputusan adalah negatif,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) menjangkakan fasa peralihan monsun bermula pada 24 September dan akan berterusan sehingga November 2024.
Semasa fasa itu, negara dijangka mengalami hujan lebat terutama pada waktu petang dan awal malam.
Dr Muhammad Radzi berkata, keadaan tersebut akan mengakibatkan banyak bekas dan struktur di persekitaran berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
“Keadaan cuaca memainkan peranan penting dalam penularan penyakit denggi kerana ia mempengaruhi habitat dan kelangsungan hidup nyamuk Aedes aegypti, vektor utama penyakit ini,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak terutama masyarakat untuk sentiasa berwaspada terhadap risiko jangkitan demam denggi dengan melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes sekurang kurangnya 10 minit sekali seminggu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.