Oleh Fahmi Tajuddin
PETALING JAYA: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan dua kenderaan pasukan Malaysian Batallion 850-11 (MALBATT) dalam misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan (UNIFIL) terbabit dalam insiden serangan orang awam di negara itu.
ATM dalam satu kenyataan berkata, seramai tiga orang pegawai dan tujuh anggota berada dalam dua kenderaan itu ketika serangan berlaku pada Rabu lalu sekitar jam 5.32 petang (waktu tempatan).
“(Mereka) dalam perjalanan pulang ke Kem Marakah MALBATT 850-11 setelah selesai melaksanakan penugasan force protection di Kem Shama, Markas UNIFIL.
“Ketika melalui laluan di Tes Road-Burj Al Qibli di bandar Tyre, telah berlaku kesesakan luar biasa. Ketika itu, ramai orang awam sedang mengawal lalu lintas yang mana terdapat banyak kenderaan ambulan dan bomba yang melalui dari kedua-dua arah.
“Secara tiba-tiba, sekumpulan orang awam bertindak agresif cuba memberhentikan kedua-dua buah kenderaan MALBATT. Hampir 30 orang awam kemudiannya membaling batu serta memancitkan semua tayar kenderaan menggunakan senjata tajam,” ujar kenyataan itu.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal dengan bantuan Lebanon Armed Forces (LAF) dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kalangan anggota MALBATT yang terlibat.
Ujar kenyataan itu lagi, kesemua anggota dan pegawai MALBATT dibawa ke kem Marakah untuk tujuan keselamatan.
“Kesemua anggota berserta kenderaan telah tiba di Kem Marakah dengan selamat pada jam 1.39 pagi waktu Malaysia atau 7.39 petang waktu Lubnan.
“Tiada sebarang kecederaan yang dialami oleh pegawai dan anggota terbabit. Bagaimanapun kedua-dua kenderaan telah mengalami beberapa kesan kerosakan,” katanya.
Sementara itu, ATM berkata pasukan MALBATT 850-11 akan meneruskan tugasan mereka dan mematuhi mandat yang diberikan oleh pihak UNIFIL.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 23 saat memaparkan kenderaan dipercayai milik pasukan MALBATT diserang oleh orang awam di Lubnan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.