comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua kereta, persiapan raya enam beranak hangus sekelip mata

 

Foto: NSTP

TUMPAT: Enam beranak dari Kampung Gerong di sini, tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka hangus dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian jam 12.30 tengah hari itu disedari mangsa, Jawadah Mahmood, 54, selepas ternampak asap dari rak perkakas dapur.

Katanya, sebelum kejadian, dia berada di dapur dan sedang bersiap untuk memasak.

“Saya nampak asap keluar dari rak diikuti api yang semakin lama semakin marak membakar dinding.

“Saya segera memanggil tiga anak dan suami yang berada di ruang tamu dan kami cuba menyimbah air namun api semakin marak kerana struktur binaan rumah dibuat dari kayu menyebabkan ia mudah terbakar,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Jawadah yang juga guru sebuah sekolah agama di Pasir Pekan, di sini, berkata, disebabkan asap sudah memenuhi ruang dalam rumah, mereka sekeluarga terus keluar dan dia hanya sempat mencapai beg tangan yang mengandungi sejumlah wang serta kad pengenalan.

Suaminya, Azhar Mat Said, 53, berkata, dia cuba mencari suis kereta untuk mengalihkan dua kereta jenis Proton Saga dan Perodua Myvi di halaman rumah, namun kerana asap tebal, ia gagal dijumpai menyebabkan kenderaan itu turut hangus.

 

“Segala persiapan raya termasuk baju raya untuk kami enam beranak termasuk seorang yang sedang belajar di Melaka juga hangus,” katanya sambil menganggarkan kerugian yang dialami sekitar RM150,000.

Kebakaran itu turut membabitkan sebuah lagi rumah separa kekal yang didiami Asiah Ismail, 72, yang juga biras Jawadah.

Warga emas itu berkata, kejadian berlaku dengan cepat dan dalam sekelip mata sahaja rumahnya hangus.

Asiah berkata, dia ketika itu sedang berehat dan menunggu azan Zuhur namun tiba-tiba mendengar laungan anak saudaranya dari luar rumah memberitahu kediamannya sedang terbakar.

“Tanpa sempat mencapai apa-apa, saya terus keluar dari rumah dan alangkah terperanjatnya mendapati api dari rumah sebelah sudah merebak ke rumah saya dan segalanya berlaku dengan pantas,” katanya yang reda dengan musibah yang menimpa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tumpat, Mohd Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.54 tengah hari dan seramai 12 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Wakaf Bharu bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan dua rumah separa kekal dengan kemusnahan 100 peratus.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini