comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua kes Covid-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor 

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Hanya dua kes COVID-19 dikesan dalam kalangan mangsa banjir di Johor yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sejak Sabtu lepas hingga hari ini, iaitu di Pontian dan Mersing.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata ia susulan saringan COVID-19 yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) melibatkan 938 mangsa yang terjejas akibat bencana itu.

Beliau berkata, mereka yang dikesan positif, kemudiannya ditempatkan di bilik berasingan di PPS sama di bawah pantauan pasukan perubatan dan kesihatan yang ditempatkan di semua PPS yang masih beroperasi.

“Sementara itu, sebanyak 61 kes penyakit berjangkit telah dikesan melibatkan 53 kes jangkitan saluran pernafasan akut (ARI), dua kes konjunktivitis dan masing-masing tiga kes penyakit kulit dan gastroenteritis akut (AGE) dalam kalangan mangsa banjir di seluruh negeri.

“Saya ingin menasihatkan mangsa yang terjejas supaya menjauhi air banjir atau air tercemar di samping kerap basuh tangan dan sentiasa menjaga kebersihan diri bagi mencegah penyebaran penyakit berjangkit,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Selain itu, Ling berkata bagi golongan berisiko tinggi serta bergejala digalakkan terus memakai pelitup muka.

Beliau yang turut meluangkan masa melawat PPS Sekolah Kebangsaan Melayu Raya di Pontian hari ini, memaklumkan tiga klinik fasiliti di Kota Tinggi iaitu Klinik Desa Semanggar, Klinik Desa Batu 4 dan Petri Jaya yang sebelum ini terjejas banjir telah kembali beroperasi.

Loading...
Terkini