comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua kes pertama cacar monyet dikesan di Malaysia

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Dua kes pertama jangkitan cacar monyet (mpox) dikesan di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kes pertama disahkan pada 26 Julai lalu melibatkan seorang lelaki warga asing yang telah tinggal dan bekerja di Malaysia sejak April 2022.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara yang melaporkan kes mpox pada 6 Julai lalu dan kembali semula ke Malaysia pada 10 Julai. Beliau mula menunjukkan gejala pada 19 Julai dan lepuh mula muncul pada 23 Julai.

“Beliau telah menjalani isolasi dan dibebaskan pada 10 Ogos lalu setelah pulih sepenuhnya tanpa komplikasi. Beliau disyaki mendapat jangkitan semasa berada di luar negara iaitu negara yang melaporkan kes mpox,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kes kedua membabitkan seorang lelaki tempatan adalah kontak kepada kes mpox pertama atau kes indeks.

Foto hiasan

Lelaki berkenaan mengalami gejala semasa dalam kuarantin kerana merupakan kontak kepada kes positif mpox.

“Beliau telah diarahkan menjalani kuarantin sejak 27 Julai lalu dan disahkan positif mpox pada 29 Julai. Beliau masih dalam tempoh isolasi dan dalam keadaan sihat.

“Semua kontak bagi kes pertama telah dikenal pasti dan status kesihatan mereka telah dipantau. Tiada yang mengalami gejala jangkitan mpox kecuali kes kedua. Kes kedua tidak mempunyai sebarang kontak rapat,” katanya.

Mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan oleh virus mpox dan jangkitan berlaku melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan penyakit berkenaan.

Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima ke 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering sepenuhnya.

Lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Gejala mpox  seperti demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulapapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki diikuti bahagian tubuh lain.

Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa.

 

 

Loading...
Terkini