comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Dua lagi suspek ditahan, kes baling bom petrol di pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lagi suspek berkait kes baling bom petrol di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata dua tangkapan baharu dibuat pada pagi ini menjadikan keseluruhan empat suspek yang disyaki terbabit kejadian itu ditahan setakat ini.

Foto hiasan

“Kesemua tangkapan adalah lelaki berusia dalam lingkungan 25 tahun hingga 28 tahun dan mereka kini direman empat bermula hari ini hingga 14 Mei ini.

“KIta sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti motif sebenar kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malam tadi, Rusdi dilaporkan berkata polis menahan dua suspek berhubung kes itu terdiri daripada dua lelaki tempatan, masing-masing berusia 25 tahun di rumah mereka di Batu Caves, Selangor kira-kira jam 3 petang, semalam.

Terdahulu, sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, di sini, terbakar selepas dipercayai dibaling dengan bom petrol, awal pagi kelmarin.

Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat berhampiran premis terbabit tular di media sosial.

Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar dari lokasi kejadian.

Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat yang turut tular di media sosial pula menunjukkan premis berkenaan terbakar dengan terdapat orang awam membantu memadamkan kebakaran.

Berdasarkan tarikh dan masa yang terdapat pada rakaman video CCTV terbabit, kejadian itu berlaku jam 2.18 pagi, 9 Mei (kelmarin).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini