comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki ditahan baling batu pada cermin bas penyokong Perak FC

PETALING JAYA: Dua lelaki ditahan polis kerana disyaki melakukan khianat dengan membaling batu ke arah bas yang membawa penyokong pasukan bola sepak Perak FC di Petaling Jaya, Selangor semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisoner Shahrulnizam Ja’afar berkata kedua-dua suspek ditahan penyokong Perak yang menaiki bas dan dibawa ke IPD Sg Buloh di mana laporan dibuat dan tangkapan diserahkan.

Dalam satu kenyataan, beliau memaklumkan pihaknya menerima laporan pada jam 8.49 malam semalam.

Ia berkaitan insiden dua lelaki menaiki motosikal telah membaling batu ke arah sebuah bas sewaktu melalui Lebuhraya Baru Lembah Klang, NKVE menghala arah utara.

Bas berkenaan membawa penyokong Perak FC yang selesai menyaksikan perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Semakan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki rekod jenayah dan direman tiga hari untuk siasatan lanjut.

Saringan air kencing kedua-dua suspek didapati negatif.

Kertas siasatan dibuka dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini