comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki ditahan simbah cat, hantar notis ugutan

Foto hiasan

KOTA BHARU: Polis Kelantan menahan dua suspek berusia 25 dan 26 tahun bagi membantu siasatan berhubung simbahan cat dan nota amaran yang dihantar kepada individu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berkait kes gangguan oleh pemberi pinjam wang atau Ah Long kira-kira jam 6.54 petang pada 15 Januari lalu.

“Bertindak atas maklumat pemilikan cap jari yang diperolehi, suspek pertama berjaya ditangkap pada Khamis lalu selepas sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu melakukan serbuan di sebuah rumah di Kampung Padang Bonggor kira-kira jam 7.30 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis turut merampas beberapa barang-barang kes seperti satu unit telefon bimbit jenis OPPO A17, sebuah motosikal jenis Yamaha EgoS, sepasang kasut warna putih yang mempunyai kesan tompok merah disyaki cat merah dan satu botol lutsinar berjenama Fanta 1.25L mengandungi cecair merah disyaki cat merah,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Turut dirampas beberapa barangan yang disyaki digunakan untuk membancuh cat nerah.

Katanya, suspek kedua turut ditangkap di kedai makan di kawasan Padang Garong pada jam 11 malam hari yang sama.

“Kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 22 Januari untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951,” katanya.

Dalam kejadian pada 14 Januari lalu, kira-kira jam 7.30 malam, ibu mangsa menyedari kawasan hadapan rumahnya disimbah cat bewarna merah yang turut terkena sebuah kereta Perodua Myvi bewarna biru milik jirannya.

Berdasarkan keterangan daripada mangsa, pada tahun 2021 mangsa memaklumkan ada membuat pinjaman wang melalui aplikasi “mariwang”.

“Mangsa membuat pinjaman sebanyak RM300 dan sudah menerima wang pinjaman sebanyak RM150.

“Mangsa sudah membuat bayaran semula pinjaman wang berkenaan lebih kurang RM 1,000 yang mana bayaran itu dibuat melalui aplikasi yang sama.

“Bagaimanapun, Ah Long meminta mangsa membuat pembayaran sebanyak RM10,000, namun mangsa tidak mampu membuat bayaran itu dan telah memadam aplikasi berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat pinjaman yang diiklankan secara dalam talian dan laman web yang mencurigakan.

Loading...
Terkini