Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Dua lelaki termasuk seorang warga China ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menggodam kad bank membabitkan mangsa di empat negara di Timur Tengah membabitkan transaksi sehingga RM30,000 sehari.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Ohman, berkata kedua-dua suspek berusia 23 dan 24 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kuantan, 17 November lalu.
Siasatan awal mendapati sindiket menggodam kad kredit dan kad debit untuk mendapat maklumat akaun mangsa membabitkan pelbagai bank di Qatar, Kuwait, Arab Saudi dan Turkiye.
Katanya, suspek dipercayai mendaftar web palsu dan mempromosi iklan pembelian barangan bagi menarik mangsa untuk mendaftar butiran kad kredit atau kad debit.
“Mereka kemudian menceroboh akaun kad bank mangsa dan memperolehi butiran kad kredit atau kad debit dipaparkan ke laman web sesawang dicipta mereka.
“Suspek kemudian menggunakan aplikasi dalam telefon mudah alih untuk mengimbas kad bank mangsa.
“Mereka kemudian menggunakan aplikasi E-Wallet pada terminal pengimbas pembayaran untuk melakukan transaksi,” jelasnya pada sidang media, hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas tiga set komputer, 94 telefon bimbit jenama Iphone serta 14 mesin pengimbas terminal pembayaran mudah alih.
Kedua-dua suspek kini direman untuk siasatan lanjut.