comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki hadapi tuduhan bunuh pengurus syarikat tegur saiz payudara

Tertuduh, Patrick Chu Chee Guan (baju lokap, depan) dan Deebanahsok didakwa bunuh pengurus syarikat, dalam pergaduhan dua minggu lalu. – Foto: Meor Riduwan Meor Ahmad

MELAKA: Dua lelaki dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan membunuh pengurus sebuah syarikat.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, A Deebanahsok, 27, dan Patrick Chu Chee Guan, 36 sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mazana Sinin kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap seorang lelaki, M Sandrasekaran, 33, di Jalan 3/25, Taman Kenanga antara jam 3.30 hingga 4.15 pagi, 9 Mei lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati.

Timbalan Pendakwa Raya J Banusha menjalankan pendakwaan kes manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam A Mathan.

Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baharu bagi mendapatkan laporan kimia, forensik dan bedah siasat mangsa dan tiada jaminan ditawarkan kepada kedua-dua tertuduh berikutan kesalahan mengikut pertuduhan tidak boleh dijamin.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula 30 Jun depan.

Sementara itu, Patrick Chu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berasingan mempromosikan judi mengikut Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 di kawasan tempat letak kereta di hadapan Orchard Square, Pangsapuri Jayamuda, Jalan Rev Seet Kim Beng kira-kira jam 11 pagi, 30 April lalu.

Jika disabitkan kesalahan, dia boleh didenda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 bagi setiap mesin judi dirampas dan penjara tidak melebihi tiga tahun.

Media sebelum ini melaporkan pengurus sebuah syarikat maut dalam pergaduhan di Taman Kenanga selepas dikatakan menegur saiz payudara seorang wanita.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit sebelum ini berkata, laporan bedah siasat menyatakan punca kematian mangsa berusia 33 tahun itu disebabkan tikaman di jantung.

Loading...
Terkini