comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki hilang ketika cari siput belitung

Pasukan penyelamat terdiri daripada PDRM, JBPM dan APM digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat dua lelaki hilang sejak Rabu lalu ketika mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis, di sini.-Foto NSTP/IHSAN BOMBA.

MANJUNG: Dua lelaki dilaporkan hilang sejak Rabu lalu ketika keluar mencari siput belitung di Sungai Tuntung, Pantai Remis, di sini.

Mangsa, Abdul Talib Harun, 55 dan rakannya, Azman Mat Jaab, 61, difahamkan keluar melakukan aktiviti itu pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, anak mangsa membuat laporan polis selepas bapanya tidak pulang dan gagal dihubungi selepas 24 jam.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang kampung.

“Setakat jam 6 petang hari ini, kedua-dua mangsa yang hilang masih gagal dikesan dan tiada sebarang maklumat tepat (petunjuk) diperoleh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, Unit Anjing Pengesan K9 turut terbabit membuat pencarian di Alor Sungai Pak Ya dan Alur Sungai Merah masing-masing dalam radius tiga kilometer dengan dipandu oleh orang awam yang mahir dengan kawasan terbabit.

“Selain itu, komander operasi turut mengarahkan sepasukan anggota bomba melaksanakan pencarian di Alur Sungai Besar menuju ke Alur Sungai Merah.

“Bagaimanapun, mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula pada jam 8.30 pagi, esok,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini