IPOH: Dua lelaki terbunuh manakala seorang parah apabila kereta Proto Waja dinaiki mereka terbabas melanggar tiang lampu jalan di Jalan Kuala Kangsar berhadapan pusat pameran dan servis kereta di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata dalam kejadian jam 2.17 pagi itu, ketiga-tiga mangsa tersepit di dalam kereta.
Dua mangsa masing-masing berumur 32 dan 36 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian .
Manakala seorang yang parah berumur 31 tahun dirawat di Zon Merah Jabatan Kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.
Siasatan awal mendapati nahas berlaku ketika kereta dinaiki mangsa melalui jalan Kuala Kangsar menghala ke Ipoh.
Kereta terbabit bagaimanapun, hilang kawalan dan terbabas sendiri melanggar tiang lampu jalan yang terletak di pembahagi jalan.
“Akibat impak perlanggaran, tiang lampu jalan patah melintang di laluan menghala ke Sungai Siput.
“Punca kemalangan adalah akibat kereta itu terbabas sendiri. Keadaan sekitar ketika kejadian adalah jalan lurus, sehala, dan tiga lorong selain keaadan cuaca baik, jalan kering, gelap, namun berlampu jalan. Bedah siasat akan dijalankan,” katanya.
Kes diklasifikasi mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.