BACHOK: Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan andis-Tok Bali, di sini, malam semalam.
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 54 dan 21 tahun menunggang motosikal jenis Sport Bonus dan Yamaha 125.
Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian jam 11.35 malam.
“Kemalangan berlaku apabila penunggang kedua berusia 21 tahun datang secara tiba-tiba dari arah bertentangan.
Dua penunggang motosikal maut dalam kemalangan di Jalan andis-Tok Bali, malam semalam.
Sumber video tular pic.twitter.com/iDTAQEz0gz
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 11, 2023
“Keadaan menyebabkan kedua motosikal bertembung secara berhadapan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Mohamad berkata, akibat pelanggaran, mangsa pertama jatuh di laluan sama manakala motosikal dan mangsa kedua terbabas ke sebelah kiri jalan.
“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian dada dan kepala,” katanya.
Dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.