comscore
Tumpuan :
Nasional

Dua lelaki samun peniaga dalam talian diberkas, tiga masih diburu

Tangkap layar video tular kejadian samun di Puteri Harbour, Iskandar Puteri, Isnin lalu. – FOTO: Ihsan pembaca.

ISKANDAR PUTERI: Dua lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes samun di Puteri Harbour di sini, Isnin lalu.

Video kejadian itu tular sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dalam satu kenyataan hari ini memberitahu pihaknya mengesan video tular mengenai samun itu semalam, bagaimanapun tangkapan sudah dibuat Isnin lalu.

“Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek pertama ditahan pada jam 10.15 pagi di Horizon Hill manakala suspek kedua ditahan jam 9 malam, hari yang sama di Gelang Patah.

“Hasil siasatan, suspek mengaku terbabit dalam kes yang berlaku pada jam 9.45 pagi itu dengan cara melanggar kereta mangsa dan mencederakan mangsa menggunakan parang,” katanya  .

Turut dirampas semula RM10,000 yang disamun daripada mangsa yang berniaga secara dalam talian itu.

“Kita juga merampas senjata dan kenderaan yang dipercayai digunakan ketika kejadian,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera di kepala akibat ditetak dan dirawat di hospital swasta di sini, dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Kedua-dua suspek berusia 40 dan 45 tahun mempunyai rekod jenayah lampau itu kini direman sehingga Sabtu ini .

Siasatan kes mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan masih diteruskan bagi mengesan rakan sejenayah yang dipercayai terdapat tiga lagi yang masih bebas.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan,” tegasnya.

Loading...
Terkini